Saturday, October 16, 2010

Akar Cinta Budaya Bangsa

Pesan Tok Tuah,
Tak akan melayu hilang di dunia,
Beradat lama pujangga penglipur lara,
Bingkisan sebuah utusan dari zaman-berzaman,
Usah malu dalam berbahasa dengan penghayatan budaya sempurna,
Sambil menari dalam tarian pautan bangsa bertamadunkan kita,
Kitalah pewaris penjulang setiap adat dan warisan,
Pelapis setiap gerak langkah yang pernah di bawa mereka.


Kita juga,
Sebagai penghunus keris taming sari bertatahkan budaya,
Budaya yang tidak pernah lapuk dibasahi hujan,
Tidak pula lekang dipanasi mentari.
Namun hampir senja,
Tirai persada keagungan yang pernah menjadi wahana,
Semakin khilaf dilupakan kita,
Wajah kita umpama tidak kenal mana budaya,
Mana adat yang harus dijunjung,
Tidak pernah meminta adat dijunjung terlebih dari agama,
Namun cukup sekadar menjadi bingkisan dalam setiap tingkah,
Menjadi peneman dalam setiap perlakuan kita,
Sebagai pelapis bangsa, pewaris takhta.


Akar cinta ini,
Berpaut dalam kesuburan jati diri bangsa,
Nilainya lebih tinggi dari tanah sekangkang kera,
Keagungannya,
Setinggi bintang seindah permata hinggakan
Tidak terbeli dengan wang ringgit mahupun harta,
Namun, usahkan diamal, dikenal jauh,
Dijunjung salah, dikenang sudah,
Sehingga berabad menjadi adat,
Umpama dilupakan dibilang salah,
Kerana kita tidak mahu mengenal mutiara,
Ada yang buta dengan tamadun dunia,
Sehingga bangsa melupakan akarnya,
Akar yang pernah menjadi pautan dahan rendang,
Kian berbuah,
Berbuah dan berusia.


Kitalah pewaris bangsa,
Ayuh kita selami setiap isi dan inti budaya dan adat resam,
Usah kita malu kerana kita ketinggalan,
Ayuh kita pasakkan jati diri bangsa,
Dalam setiap nyanyian setiap perlakuan,
Kita semaikan akar cinta bangsa ini sungguh pun dalam karya abadi,
Agar ia tidak pernah ditelan zaman,
Jadi warisan sepanjang kehidupan,
Sehingga mati dalam pelukan adat dan agama.

No comments:

Post a Comment