Monday, November 1, 2010

Satu

kalau terkaku jari nan satu,
bisa bertongkat pada dagu yang setia membantu,
biarkan setiap derita bersarang pada sisi kesabaran.
andai buta sudah ketemu jalan pulang,
Izinkan terang suria meliputi kegelapan yang memandang.
andai yang bisu bisa berkata,
Alangkah bertambah perdebatan manusia dalam inderaloka ciptaan kita.

Jika kota yang dulunya bingit kian beransur lengang,
Itu tandanya gemersik angin kian sukar untuk menyanyikan irama kehidupan.
Andai waktu kian berlalu, semakin norma hidup ini, kembali berjalan diatas paksi yang telah ditentukan.

Cinta itu milik Tuhan,
Kasih itu milik manusia,
Untuk punyai perasaan kasihan pada jiwa yang sengsara,
Rasa yang ada merupakan suatu pelengkap jasad dalam meniti perjalanan yang panjang,
Tanpa rasa, insan tidak mampu menyinta.

Jika yang sepi itu datang dan pergi,
Biarkan ia tiba pada waktunya,
pulang sepantas detik waktu yang berlalu.
Andai sepi tetap menjadi peneman diri,
Yakinlah, ada hikmah disebalik setiap minpi.

Mushesa

Saturday, October 16, 2010

Andai Aku Bisa

Andai aku bisa jadi burung,

Terbang bebas membelah kebiruan awan,

Senjanya, aku akan pulang semula ke sarang,

Melihat panorama dunia yang sekadar khayalan,

Memerhati gelagat manusia yang bermain dengan akal fikiran,

Mereka membenci dan mendengki sesama sendiri,

Pasti aku bersyukur jika tuhan menjadikan aku burung.

Walau tidak punya akal untuk berfikir.

 

Andai aku bisa menjadi pepohonan,

Menjadi tumpangan dan teduhan bagi sesiapa yang memerlukan,

Aku pasti melakukan baktiku dengan sepenuh hati dan perasaan,

Agar mereka dapat berbangga dengan segala penat lelahku,

Menjadi penyelamat tiap ketika panas mahupun hujan,

Biarkan aku tidak berakal mahupun jiwa,

Namun aku punya kudrat untuk membantu manusia,

Tapi adakalanya mereka lupa pada segala jasa,

 Biar terkadang aku menangis sendirian.

 

Andai aku bisa menjadi lampu neon,

Menerangi tiap malam-malam gelita di dunia,

Memerhatikan gelagat manusia yang ingin berjaya,

Menelaah tidak kenal lelah mahupun leka,

Ada ketikanya mereka terlena sendirian,

Sehingga langit beransur cerah,

Namun aku masih cekal menaruh harapan,

Mahu melihat mereka berjaya dengan sinaran dariku,

Ingin mereka menjadi siapa-siapa yang bisa dibanggakan.

 

Tetapi aku sekadar manusia,

Penuh dengan cita-cita,

Mudah mendabik dada,

Mudah lemah semangat yang ada,

Tapi aku bisa berfikir,

Mana yang baik, mana yang jahil,

Akal yang dikurnia harus aku lengkapi dengan fikiran,

Bukan hanya angan-angan,

Inilah naluriku seorang Insan.

Akar Cinta Budaya Bangsa

Pesan Tok Tuah,
Tak akan melayu hilang di dunia,
Beradat lama pujangga penglipur lara,
Bingkisan sebuah utusan dari zaman-berzaman,
Usah malu dalam berbahasa dengan penghayatan budaya sempurna,
Sambil menari dalam tarian pautan bangsa bertamadunkan kita,
Kitalah pewaris penjulang setiap adat dan warisan,
Pelapis setiap gerak langkah yang pernah di bawa mereka.


Kita juga,
Sebagai penghunus keris taming sari bertatahkan budaya,
Budaya yang tidak pernah lapuk dibasahi hujan,
Tidak pula lekang dipanasi mentari.
Namun hampir senja,
Tirai persada keagungan yang pernah menjadi wahana,
Semakin khilaf dilupakan kita,
Wajah kita umpama tidak kenal mana budaya,
Mana adat yang harus dijunjung,
Tidak pernah meminta adat dijunjung terlebih dari agama,
Namun cukup sekadar menjadi bingkisan dalam setiap tingkah,
Menjadi peneman dalam setiap perlakuan kita,
Sebagai pelapis bangsa, pewaris takhta.


Akar cinta ini,
Berpaut dalam kesuburan jati diri bangsa,
Nilainya lebih tinggi dari tanah sekangkang kera,
Keagungannya,
Setinggi bintang seindah permata hinggakan
Tidak terbeli dengan wang ringgit mahupun harta,
Namun, usahkan diamal, dikenal jauh,
Dijunjung salah, dikenang sudah,
Sehingga berabad menjadi adat,
Umpama dilupakan dibilang salah,
Kerana kita tidak mahu mengenal mutiara,
Ada yang buta dengan tamadun dunia,
Sehingga bangsa melupakan akarnya,
Akar yang pernah menjadi pautan dahan rendang,
Kian berbuah,
Berbuah dan berusia.


Kitalah pewaris bangsa,
Ayuh kita selami setiap isi dan inti budaya dan adat resam,
Usah kita malu kerana kita ketinggalan,
Ayuh kita pasakkan jati diri bangsa,
Dalam setiap nyanyian setiap perlakuan,
Kita semaikan akar cinta bangsa ini sungguh pun dalam karya abadi,
Agar ia tidak pernah ditelan zaman,
Jadi warisan sepanjang kehidupan,
Sehingga mati dalam pelukan adat dan agama.

Sunday, September 5, 2010

Kosong

 
Dalam ruang legar ini,
Kerdipan bintang menjadi suluhan dalam kelam malam,
Rembulan umpama malu dalam samar-samar kepekatan
Dan kedinginan yang sungguh mendebarkan,
Ada rindu, ada sepi,
Rindu pada tarian irama yang pernah ditarikan,
Rindu pada bait puitis yang pernah menjadi peneman tatkala,
Ada perasaan sepi mencengkam jiwa,
 
Selimut hati ini,
Kian terbuka tatkala jendela dibuka seluas dunia,
Untuk menerima setiap kesempurnaan mahupun kekurangan,
Kesederhanaan sesungguhnya sesuatu yang berharga,
Tidak lebih, tidak kurang,
Itulah manusia yang sempurna,
Mampu berdiri walau dengan kudrat sekecil zarah,
Kedaifan menjadi suatu yang amat berharga,
Ialah kedaifan dunia,
Namun suatu kemuliaan pada ketika pengakhir bicara.
 
Ruang legar ini sepi kembali,
Umpama memahami bicara hati,
Bicara pada minda, seusai meratapi kekosongan hati,
Menjadi peneman tatkala sendirian menjalani hari,
Tidak pernah tercabar dengan kerunsingan dan kesukaran,
Namun, barpaut dengan pengharapan yang teramat panjang,
Selama mana mampu bertahan,
Untuk berkongsi hati,
Menjadi satu perkara yang sia-sia,
Tidak mampu walau terlintas di minda dan jiwa,
Umpama kekosongan dalam hati ketika ini,
Keresahan bukanlah peneman bicara,
Namun kemanisan dalam pencarian merupakan satu kucupan abadi,
Sebuah dambaan cinta,
Dalam setiap kekosongan di jiwa.

Friday, September 3, 2010

Bersendirian Bukan Sepi

 
Puisi ini,
Sebagai lambang kecintaan pada sesuatu,
Sesuatu yang bisa buat hati menjadi jujur,
Sesuatu yang bisa buat hati menjadi tulus,
Kerana cinta yang begitu mendalam,
Sedalam terkaramnya titanic pada sekitar 1920-an,
Pada sekitar itulah ketenangan yang pernah didambakan,
Kadangkala hadir tiap tika sendirian,
Berpenderian, inginkan bersendirian.
 
Berteman lampu kecil,
Memerhati gelagat kunang-kunang cuba lari keluar,
Dari jendela yang sememangnya senantiasa terbuka.
Membiarkan angin kedinginan malam berlegar,
Dalam ruangan ciptaan ilusi yang sungguh menyenangkan,
Tak perlu fikir walau sedetik perasaan manusia lain.
 
Lebih elok jika begini,
Tiada siapa yang mengganggu pada ketika saat ini,
Saat menari jejari di atas satu idea yang entah tiada erti,
Sekadar pelengkap kepuasan diri,
Kepuasan nafsu yang turun naik takhta menemani hati,
Sekitar kehidupan kota ini,
Kembali sepi menyamput jam berdetikan,
Mempamerkan jarum ke angka 3.
 
Pagi yang semakin mendinginkan,
Dengan alunan lagu-lagu cinta yang membuai perasaan,
Tanpa segan silu berpuisi cinta sambil melayan perasaan resah,
Resah kadangkala menantikan hari esok,
Sesuatu yang sukar untuk diduga mahupun diteka.
 
Entah kenapa,
Tergerak untuk menulis puisi yang seakan luahan hati ketika ini,
Ikhlas dari hati disulami sebuah kejujuran diri,
Karya ini ternyata tidaklah berbeza mana,
Dari suara anak muda yang suka bersendirian,
Sambil mengimbas setiap kegagalan dan kejayaan,
Kadangkala tersenyum sendirian,
Apabila memikirkan setiap jalan kehidupan,
Nyata, kematangan merupakan satu keputusan,
Matang menjadi diri sendiri,
Bukan mengikut telunjuk insan sekeliling,
Kadangkala menjadi satu halangan untuk ekspresi diri,
Acapkali menjadi suara sumbang seolah-olah
Menjadi tuhan yang bisa mengatur segala gerak manusia,
Seketikanya lemas dengan kerenah manusia,
Perlu menjaga setiap hati seperti batu sekeras kerikil,
Sukar untuk difahami dan kadangkala mendustai hati.
 
Hipokrasi,
Itulah jawapan manusia yang sedang bermimpi,
Bermimpi untuk menjadi sempurna seperti yang diimpi,
Berlari untuk mengejar sesuatu yang tak pasti,
Akhirnya, terkulai tak bermaya,
Kerana pentas drama ini telah berakhir.
Biarkanlah sendirian begini,
Membilang hari-hari yang dilalui,
Tanpa mengganggu sesiapa di dunia ini,
Berbicara pada alam semesta,
Membilang,
Setiap kekuatan dan kelemahan diri,
Bersendirian itu kadangkala suatu kepuasan.
Boleh mencermin sejauh mana diri.
Jangan kata bersendirian itu sepi,
Kerana pasti ada yang menemani.

Sunday, August 29, 2010

Warkah Untuk Kita

Sudah bertahun,
Kita berjalan di atas batas-batas ini,
Setiap satunya kita benihkan dengan sebuah rasa cinta,
Setiap inci tanahnya kita basahkan
Dengan keringat yang suci,
Bajanya berupa pengorbanan sejati,
Nilainya,
Setinggi bintang, sekilau permata,
Tidak terbayar dengan seungkap kata-kata.
Sudah bertahun,
Kita berjalan di bawah satu bumbung yang sama,
Apabila kita mendongak ke atas,
Kelihatan langit nan kebiruan,
Menemani setiap langkah perjuangan.
Tidak pernah jemu melihat setiap usaha dan harapan,
Langit kita sama sahaja,
Diseliputi awan nan memutih,
Terkadang merah diufuk senja,
Terkadang kehitaman tatkala kedinginan malam.
Sudah bertahun,
Sang suria memerhati gelagat kita,
Ternyata ia tersenyum sendirian,
Tertawa kecil memerhati telatah kita yang semakin terlena,
Terbuai dengan kepuasan hati sendiri,
Ditipu dengan kewarasan yang ternyata suatu kegilaan.
Sudah!
Berhenti dari membangkitkan segala sifat pesimis dan prejudis,
Hentikan segala tohmahan yang bisa menggugat kedamaian ini,
Kerana dunia ini bukan milik kita,
Kita sekadar melintas sesaat untuk berbicara, bertelagah dan bersenda.
Kerana kita semua bersaudara,
Walaupun kita tidak pernah serupa,
Namun kita punyai satu hati dan satu rasa.
images
Ayuh!
Kita hanyutkan segala prasangka pada jeram yang bakal berakhir ini,
Kita lemaskan segala rasa sangsi di dalam lautan sedalam bumi,
Kita lemparkan segala perasaan buruk biar ke benua antartika,
Kerana kita bersaudara,
Bediri pada satu nama, satu rumpun dan satu suara,
Jangan pernah menjadi petualang menusuk umpama selumbar,
Usah pula menjadi umpama anjing yang kesempitan meraih simpati,
Akhirnya melupakan pengorbanan.
Usah menjadi hamba abdi perasaan benci yang ternyata sia-sia belaka.
Marilah,
Kita asap limaukan keris jati diri bangsa,
Sebagai pelapis dan penghakis segala tohmah dan fitnah,
Sebuah pendinding bagi tujuh lagi keturunan yang bakal lahir,
Kita berzikir, kita bertafakur memohon tuhan agar terus
Kekalkan makmur,
Dalam hujan rahmat kita bersujud merafak sembah,
Doa dan pengharapan umpama nadi,
Seumpama aliran darah dari dalam selirat urat usia,
Jangan pernah berhenti,
Kerana perjuangan ini memerlukan sebuah keikhlasan,
Perjuangan ini baru sahaja bermula,
Seumpama bayi yang baru lahir,
Harus ditatang dengan penuh sabar dan kasih-sayang,
Agar pabila dewasa menjadi insan yang mengenang budi,
Budi yang tidak terjual mahupun terbeli,
Budi pada tanah kelahiran sendiri.

Monday, August 23, 2010

Kehidupan

Kehidupan,
Umpama perjalanan menaiki sebuah keretapi,
Sebuah laluan yang sudah ditentukan oleh maha pencipta,
Hanya tunggu untuk dilalui dengan penuh hati-hati,
Hentian demi hentian yang dilalui,
Merupakan satu demi satu halangan yang menanti,
Sebuah penantian yang amat menggusarkan,

memenatkan,
melemahkan,
Apabila terdengar suara memanggil,
Tandanya keretapi sudah sampai ke destinasi,
Pengembaraan sudah berakhir disini,
Tinggal sang penumpang, bersama bagasi berupa amalan,
Menanti di tengah ribuan  setia,
Tidak tahu nasib yang seterusnya.

Kehidupan,
Umpama perjalanan menuju pulau menaiki bahtera,
Sebuah perjalanan yang penuh dengan ranjaunya,
Terumbang-ambing dipukul gelora,
Tidak pasti sama ada dapat bertahan atau pun karam,
Sebuah persoalan,
Sebuah doa dan harapan,
Agar sampai ke destinasi yang diimpikan,
Apabila sampai di pelabuhan,
Berlabuhlah sebuah sauh kehidupan,
Menurunkan anak kapal dan penumpang setia,
Bersama muatan berupa amalan,
Menanti untuk dihitung sama ada lengkap atau kurang,
Untung nasib ditangan amalan yang dilakukan,
Tiada upaya untuk mengulangi kehidupan yang telah ditinggalkan,
Kerana perjalanan ketika di pelabuhan,
Adalah sebuah kehidupan baru.

Begitulah kehidupan kita,
Jalan yang sudah terbentang luas dihadapan mata,
Tinggal untuk dilalui dengan penuh kesabaran,
Sebuah perjanjian dengan tuhan yang maha esa,
Sebuah destinasi berupa syurga.