Sunday, August 29, 2010

Warkah Untuk Kita

Sudah bertahun,
Kita berjalan di atas batas-batas ini,
Setiap satunya kita benihkan dengan sebuah rasa cinta,
Setiap inci tanahnya kita basahkan
Dengan keringat yang suci,
Bajanya berupa pengorbanan sejati,
Nilainya,
Setinggi bintang, sekilau permata,
Tidak terbayar dengan seungkap kata-kata.
Sudah bertahun,
Kita berjalan di bawah satu bumbung yang sama,
Apabila kita mendongak ke atas,
Kelihatan langit nan kebiruan,
Menemani setiap langkah perjuangan.
Tidak pernah jemu melihat setiap usaha dan harapan,
Langit kita sama sahaja,
Diseliputi awan nan memutih,
Terkadang merah diufuk senja,
Terkadang kehitaman tatkala kedinginan malam.
Sudah bertahun,
Sang suria memerhati gelagat kita,
Ternyata ia tersenyum sendirian,
Tertawa kecil memerhati telatah kita yang semakin terlena,
Terbuai dengan kepuasan hati sendiri,
Ditipu dengan kewarasan yang ternyata suatu kegilaan.
Sudah!
Berhenti dari membangkitkan segala sifat pesimis dan prejudis,
Hentikan segala tohmahan yang bisa menggugat kedamaian ini,
Kerana dunia ini bukan milik kita,
Kita sekadar melintas sesaat untuk berbicara, bertelagah dan bersenda.
Kerana kita semua bersaudara,
Walaupun kita tidak pernah serupa,
Namun kita punyai satu hati dan satu rasa.
images
Ayuh!
Kita hanyutkan segala prasangka pada jeram yang bakal berakhir ini,
Kita lemaskan segala rasa sangsi di dalam lautan sedalam bumi,
Kita lemparkan segala perasaan buruk biar ke benua antartika,
Kerana kita bersaudara,
Bediri pada satu nama, satu rumpun dan satu suara,
Jangan pernah menjadi petualang menusuk umpama selumbar,
Usah pula menjadi umpama anjing yang kesempitan meraih simpati,
Akhirnya melupakan pengorbanan.
Usah menjadi hamba abdi perasaan benci yang ternyata sia-sia belaka.
Marilah,
Kita asap limaukan keris jati diri bangsa,
Sebagai pelapis dan penghakis segala tohmah dan fitnah,
Sebuah pendinding bagi tujuh lagi keturunan yang bakal lahir,
Kita berzikir, kita bertafakur memohon tuhan agar terus
Kekalkan makmur,
Dalam hujan rahmat kita bersujud merafak sembah,
Doa dan pengharapan umpama nadi,
Seumpama aliran darah dari dalam selirat urat usia,
Jangan pernah berhenti,
Kerana perjuangan ini memerlukan sebuah keikhlasan,
Perjuangan ini baru sahaja bermula,
Seumpama bayi yang baru lahir,
Harus ditatang dengan penuh sabar dan kasih-sayang,
Agar pabila dewasa menjadi insan yang mengenang budi,
Budi yang tidak terjual mahupun terbeli,
Budi pada tanah kelahiran sendiri.

2 comments:

  1. nice..:)
    tdi bru je tgok hati malaya..so..quite a coincidence..thanks!

    ReplyDelete
  2. yeker....huhu.....aku tak berkesempatan lagi nak tengok cerita tu..

    ReplyDelete