Monday, August 2, 2010

Kalimah Terakhir

YAASIN
Ada kalimah taqwa disebalik harapan yang ditinggalkan,
Sekujur nyawa sekelumit sepi,
Lapisan persoalan disebalik kenyataan takdir,
Bumi ini lantas menabirkan suratan kisah semalam yang nyata berbeza,

Kedengaran,
Kalimah Lailahaillallah tatkala senja melabuhkan tirai,
Berarak mendung sepi awan nan pekat kelabu,


Kini,
Bicara hanya pada hati dan nurani,
Antara akal yang buta atau nafas yang tersesak sukar,
Jerih menahan kehausan dunia,
Kelaparan yang menggigit sekujur mungil wajah nan merah,
Kepanasan, itulah kehendak hati yang masih memberi,
Hati yang sayu, merintih mati.



Kata-kata yang lahir kian alpa,
Suara yang tergetar menggamit kenangan silam yang leka,
Tatkala senja inilah dunia semakin rancak bermain,
Tarian asmara melabuhkan bahasa nan indah,
Kecapan kepuasan mengharungi gelora cinta,
Tidak pernah cinta mati,
Seringkali jiwa teruji,


Biar sayup kebiruan menahan kelemahan liang derita,
Biar sayup pandangan insan meraih seribu simpati,
Gejolak yang semakin membara meranapkan sendi-sendi
Yang tidak bisa lagi cekal berdiri,
Kini kian lemah longlai menyembah bumi.


Kalimah Yaasin,
Merungkai segala pentafsiran gempita,
Ketika takdir melambai umpama daun kering layu
Menanti rebah berterbangan ditiup sang bayu,
Hujan renyai mendamaikan kepekatan malam nan sayu,
Kini sang pujangga tidak lagi berani berdiri dilaluan megah,
Kerana jalan telah diselaputi kabus berpanjangan,
Kerana semuanya telah kembali sediakala,


Ada cerita disebalik cerita,
Antara dua pilihan,
Yang sepi biar datang mati,
Yang duka biar datang derita,
Yang suka biar datang senyum,
Yang menang biar tinggal kalah,


Malam kian pekat gelita,
Ketika tahmid kian dibawa irama sendu,
Tangisan menggamit deraian air mata,
Ada yang sukar melepaskan erat pelukan,
Kehangatan yang dahulu dirasakan,
Kini kian berganti dingin,
Sedingin salju meresap ke liang roma,



Ada yang senang melepas pergi,
Kerana percaya segalanya telah lengkap,
Menguji, diuji dan teruji,


Masa kian melewati,
Bingkisan cerita kian tiba di penghujung erti~
Harapan yang tidak pasti,



Andai esok sudah tidak memunculkan diri,
Andai mentari sudah malas menyinari hari,
Andai bayu sudah beralih dari timur ke barat,
Andai rembulan sudah malap ditinggalkan suria,


Berjanjilah,
Tidak ada siapa yang akan meratapi pemergian ini,
Walaupun tanpa kerelaan hati,
Andai derita nafas di hujung kalimah terakhir,
Ajarkanlah susunan kalimah lailahaillallah,
Agar lelah,perit,jerih,siksa mudah meminta diri,



Jangan ditafsirkan sesakit manapun ajal yang masih berbaki,
Kerana percaya dan yakinlah,
Hikmah maha pencipta,


Selamat tinggal teman~
Selamat tinggal saudara~
Selamat tinggal dunia~



Mushesa

No comments:

Post a Comment