Monday, August 2, 2010

Pena Yang Menari

Bila pena mula menari,
Pasti akan ada susunan kalimah yang diukir,
Tiap aksara disusun dengan rapi,
Agar maksud tersurat mudah untuk dilihat,
Supaya makna tersirat mudah dicerna minda.



Tiap aksara yang disusun satu persatu,
Pasti membawa maksud yang berbeza,
Kadangkala ia,
Merupakan satu getusan bicara,
Ungkapan mesra yang tidak bisa
Diungkapkan dengan kata-kata,
Kadangkala ia,
Merupakan buah fikiran,
Bingkisan idealogi yang sukar untuk
Diterjemah dengan kata-kata.


Sesungguhnya,
Setiap karya itu berlandaskan emosi dan pemikiran,
Sebuah hadiah dari hati yang teramat istimewa,
Adanya pena yang tidak pernah berhenti dari menari,
Bakal menciptakan satu melodi yang indah,
Menggamit satu tarian sempurna.


Jejari ini terus bergetar,
Ingin melukis potret minda,
Ingin mencipta karya sempurna,
Warna-warni kehidupan manusia,


Dan sesungguhnya,
Ia tidak akan berhenti dari menari,
Kerana melodi itu umpama helaan nafas,
Selagi udara ini masih dinikmati,
Selagi itu juga jasad pena tidak akan mati.


Mushesa

No comments:

Post a Comment