Monday, November 1, 2010

Satu

kalau terkaku jari nan satu,
bisa bertongkat pada dagu yang setia membantu,
biarkan setiap derita bersarang pada sisi kesabaran.
andai buta sudah ketemu jalan pulang,
Izinkan terang suria meliputi kegelapan yang memandang.
andai yang bisu bisa berkata,
Alangkah bertambah perdebatan manusia dalam inderaloka ciptaan kita.

Jika kota yang dulunya bingit kian beransur lengang,
Itu tandanya gemersik angin kian sukar untuk menyanyikan irama kehidupan.
Andai waktu kian berlalu, semakin norma hidup ini, kembali berjalan diatas paksi yang telah ditentukan.

Cinta itu milik Tuhan,
Kasih itu milik manusia,
Untuk punyai perasaan kasihan pada jiwa yang sengsara,
Rasa yang ada merupakan suatu pelengkap jasad dalam meniti perjalanan yang panjang,
Tanpa rasa, insan tidak mampu menyinta.

Jika yang sepi itu datang dan pergi,
Biarkan ia tiba pada waktunya,
pulang sepantas detik waktu yang berlalu.
Andai sepi tetap menjadi peneman diri,
Yakinlah, ada hikmah disebalik setiap minpi.

Mushesa

Saturday, October 16, 2010

Andai Aku Bisa

Andai aku bisa jadi burung,

Terbang bebas membelah kebiruan awan,

Senjanya, aku akan pulang semula ke sarang,

Melihat panorama dunia yang sekadar khayalan,

Memerhati gelagat manusia yang bermain dengan akal fikiran,

Mereka membenci dan mendengki sesama sendiri,

Pasti aku bersyukur jika tuhan menjadikan aku burung.

Walau tidak punya akal untuk berfikir.

 

Andai aku bisa menjadi pepohonan,

Menjadi tumpangan dan teduhan bagi sesiapa yang memerlukan,

Aku pasti melakukan baktiku dengan sepenuh hati dan perasaan,

Agar mereka dapat berbangga dengan segala penat lelahku,

Menjadi penyelamat tiap ketika panas mahupun hujan,

Biarkan aku tidak berakal mahupun jiwa,

Namun aku punya kudrat untuk membantu manusia,

Tapi adakalanya mereka lupa pada segala jasa,

 Biar terkadang aku menangis sendirian.

 

Andai aku bisa menjadi lampu neon,

Menerangi tiap malam-malam gelita di dunia,

Memerhatikan gelagat manusia yang ingin berjaya,

Menelaah tidak kenal lelah mahupun leka,

Ada ketikanya mereka terlena sendirian,

Sehingga langit beransur cerah,

Namun aku masih cekal menaruh harapan,

Mahu melihat mereka berjaya dengan sinaran dariku,

Ingin mereka menjadi siapa-siapa yang bisa dibanggakan.

 

Tetapi aku sekadar manusia,

Penuh dengan cita-cita,

Mudah mendabik dada,

Mudah lemah semangat yang ada,

Tapi aku bisa berfikir,

Mana yang baik, mana yang jahil,

Akal yang dikurnia harus aku lengkapi dengan fikiran,

Bukan hanya angan-angan,

Inilah naluriku seorang Insan.

Akar Cinta Budaya Bangsa

Pesan Tok Tuah,
Tak akan melayu hilang di dunia,
Beradat lama pujangga penglipur lara,
Bingkisan sebuah utusan dari zaman-berzaman,
Usah malu dalam berbahasa dengan penghayatan budaya sempurna,
Sambil menari dalam tarian pautan bangsa bertamadunkan kita,
Kitalah pewaris penjulang setiap adat dan warisan,
Pelapis setiap gerak langkah yang pernah di bawa mereka.


Kita juga,
Sebagai penghunus keris taming sari bertatahkan budaya,
Budaya yang tidak pernah lapuk dibasahi hujan,
Tidak pula lekang dipanasi mentari.
Namun hampir senja,
Tirai persada keagungan yang pernah menjadi wahana,
Semakin khilaf dilupakan kita,
Wajah kita umpama tidak kenal mana budaya,
Mana adat yang harus dijunjung,
Tidak pernah meminta adat dijunjung terlebih dari agama,
Namun cukup sekadar menjadi bingkisan dalam setiap tingkah,
Menjadi peneman dalam setiap perlakuan kita,
Sebagai pelapis bangsa, pewaris takhta.


Akar cinta ini,
Berpaut dalam kesuburan jati diri bangsa,
Nilainya lebih tinggi dari tanah sekangkang kera,
Keagungannya,
Setinggi bintang seindah permata hinggakan
Tidak terbeli dengan wang ringgit mahupun harta,
Namun, usahkan diamal, dikenal jauh,
Dijunjung salah, dikenang sudah,
Sehingga berabad menjadi adat,
Umpama dilupakan dibilang salah,
Kerana kita tidak mahu mengenal mutiara,
Ada yang buta dengan tamadun dunia,
Sehingga bangsa melupakan akarnya,
Akar yang pernah menjadi pautan dahan rendang,
Kian berbuah,
Berbuah dan berusia.


Kitalah pewaris bangsa,
Ayuh kita selami setiap isi dan inti budaya dan adat resam,
Usah kita malu kerana kita ketinggalan,
Ayuh kita pasakkan jati diri bangsa,
Dalam setiap nyanyian setiap perlakuan,
Kita semaikan akar cinta bangsa ini sungguh pun dalam karya abadi,
Agar ia tidak pernah ditelan zaman,
Jadi warisan sepanjang kehidupan,
Sehingga mati dalam pelukan adat dan agama.

Sunday, September 5, 2010

Kosong

 
Dalam ruang legar ini,
Kerdipan bintang menjadi suluhan dalam kelam malam,
Rembulan umpama malu dalam samar-samar kepekatan
Dan kedinginan yang sungguh mendebarkan,
Ada rindu, ada sepi,
Rindu pada tarian irama yang pernah ditarikan,
Rindu pada bait puitis yang pernah menjadi peneman tatkala,
Ada perasaan sepi mencengkam jiwa,
 
Selimut hati ini,
Kian terbuka tatkala jendela dibuka seluas dunia,
Untuk menerima setiap kesempurnaan mahupun kekurangan,
Kesederhanaan sesungguhnya sesuatu yang berharga,
Tidak lebih, tidak kurang,
Itulah manusia yang sempurna,
Mampu berdiri walau dengan kudrat sekecil zarah,
Kedaifan menjadi suatu yang amat berharga,
Ialah kedaifan dunia,
Namun suatu kemuliaan pada ketika pengakhir bicara.
 
Ruang legar ini sepi kembali,
Umpama memahami bicara hati,
Bicara pada minda, seusai meratapi kekosongan hati,
Menjadi peneman tatkala sendirian menjalani hari,
Tidak pernah tercabar dengan kerunsingan dan kesukaran,
Namun, barpaut dengan pengharapan yang teramat panjang,
Selama mana mampu bertahan,
Untuk berkongsi hati,
Menjadi satu perkara yang sia-sia,
Tidak mampu walau terlintas di minda dan jiwa,
Umpama kekosongan dalam hati ketika ini,
Keresahan bukanlah peneman bicara,
Namun kemanisan dalam pencarian merupakan satu kucupan abadi,
Sebuah dambaan cinta,
Dalam setiap kekosongan di jiwa.

Friday, September 3, 2010

Bersendirian Bukan Sepi

 
Puisi ini,
Sebagai lambang kecintaan pada sesuatu,
Sesuatu yang bisa buat hati menjadi jujur,
Sesuatu yang bisa buat hati menjadi tulus,
Kerana cinta yang begitu mendalam,
Sedalam terkaramnya titanic pada sekitar 1920-an,
Pada sekitar itulah ketenangan yang pernah didambakan,
Kadangkala hadir tiap tika sendirian,
Berpenderian, inginkan bersendirian.
 
Berteman lampu kecil,
Memerhati gelagat kunang-kunang cuba lari keluar,
Dari jendela yang sememangnya senantiasa terbuka.
Membiarkan angin kedinginan malam berlegar,
Dalam ruangan ciptaan ilusi yang sungguh menyenangkan,
Tak perlu fikir walau sedetik perasaan manusia lain.
 
Lebih elok jika begini,
Tiada siapa yang mengganggu pada ketika saat ini,
Saat menari jejari di atas satu idea yang entah tiada erti,
Sekadar pelengkap kepuasan diri,
Kepuasan nafsu yang turun naik takhta menemani hati,
Sekitar kehidupan kota ini,
Kembali sepi menyamput jam berdetikan,
Mempamerkan jarum ke angka 3.
 
Pagi yang semakin mendinginkan,
Dengan alunan lagu-lagu cinta yang membuai perasaan,
Tanpa segan silu berpuisi cinta sambil melayan perasaan resah,
Resah kadangkala menantikan hari esok,
Sesuatu yang sukar untuk diduga mahupun diteka.
 
Entah kenapa,
Tergerak untuk menulis puisi yang seakan luahan hati ketika ini,
Ikhlas dari hati disulami sebuah kejujuran diri,
Karya ini ternyata tidaklah berbeza mana,
Dari suara anak muda yang suka bersendirian,
Sambil mengimbas setiap kegagalan dan kejayaan,
Kadangkala tersenyum sendirian,
Apabila memikirkan setiap jalan kehidupan,
Nyata, kematangan merupakan satu keputusan,
Matang menjadi diri sendiri,
Bukan mengikut telunjuk insan sekeliling,
Kadangkala menjadi satu halangan untuk ekspresi diri,
Acapkali menjadi suara sumbang seolah-olah
Menjadi tuhan yang bisa mengatur segala gerak manusia,
Seketikanya lemas dengan kerenah manusia,
Perlu menjaga setiap hati seperti batu sekeras kerikil,
Sukar untuk difahami dan kadangkala mendustai hati.
 
Hipokrasi,
Itulah jawapan manusia yang sedang bermimpi,
Bermimpi untuk menjadi sempurna seperti yang diimpi,
Berlari untuk mengejar sesuatu yang tak pasti,
Akhirnya, terkulai tak bermaya,
Kerana pentas drama ini telah berakhir.
Biarkanlah sendirian begini,
Membilang hari-hari yang dilalui,
Tanpa mengganggu sesiapa di dunia ini,
Berbicara pada alam semesta,
Membilang,
Setiap kekuatan dan kelemahan diri,
Bersendirian itu kadangkala suatu kepuasan.
Boleh mencermin sejauh mana diri.
Jangan kata bersendirian itu sepi,
Kerana pasti ada yang menemani.

Sunday, August 29, 2010

Warkah Untuk Kita

Sudah bertahun,
Kita berjalan di atas batas-batas ini,
Setiap satunya kita benihkan dengan sebuah rasa cinta,
Setiap inci tanahnya kita basahkan
Dengan keringat yang suci,
Bajanya berupa pengorbanan sejati,
Nilainya,
Setinggi bintang, sekilau permata,
Tidak terbayar dengan seungkap kata-kata.
Sudah bertahun,
Kita berjalan di bawah satu bumbung yang sama,
Apabila kita mendongak ke atas,
Kelihatan langit nan kebiruan,
Menemani setiap langkah perjuangan.
Tidak pernah jemu melihat setiap usaha dan harapan,
Langit kita sama sahaja,
Diseliputi awan nan memutih,
Terkadang merah diufuk senja,
Terkadang kehitaman tatkala kedinginan malam.
Sudah bertahun,
Sang suria memerhati gelagat kita,
Ternyata ia tersenyum sendirian,
Tertawa kecil memerhati telatah kita yang semakin terlena,
Terbuai dengan kepuasan hati sendiri,
Ditipu dengan kewarasan yang ternyata suatu kegilaan.
Sudah!
Berhenti dari membangkitkan segala sifat pesimis dan prejudis,
Hentikan segala tohmahan yang bisa menggugat kedamaian ini,
Kerana dunia ini bukan milik kita,
Kita sekadar melintas sesaat untuk berbicara, bertelagah dan bersenda.
Kerana kita semua bersaudara,
Walaupun kita tidak pernah serupa,
Namun kita punyai satu hati dan satu rasa.
images
Ayuh!
Kita hanyutkan segala prasangka pada jeram yang bakal berakhir ini,
Kita lemaskan segala rasa sangsi di dalam lautan sedalam bumi,
Kita lemparkan segala perasaan buruk biar ke benua antartika,
Kerana kita bersaudara,
Bediri pada satu nama, satu rumpun dan satu suara,
Jangan pernah menjadi petualang menusuk umpama selumbar,
Usah pula menjadi umpama anjing yang kesempitan meraih simpati,
Akhirnya melupakan pengorbanan.
Usah menjadi hamba abdi perasaan benci yang ternyata sia-sia belaka.
Marilah,
Kita asap limaukan keris jati diri bangsa,
Sebagai pelapis dan penghakis segala tohmah dan fitnah,
Sebuah pendinding bagi tujuh lagi keturunan yang bakal lahir,
Kita berzikir, kita bertafakur memohon tuhan agar terus
Kekalkan makmur,
Dalam hujan rahmat kita bersujud merafak sembah,
Doa dan pengharapan umpama nadi,
Seumpama aliran darah dari dalam selirat urat usia,
Jangan pernah berhenti,
Kerana perjuangan ini memerlukan sebuah keikhlasan,
Perjuangan ini baru sahaja bermula,
Seumpama bayi yang baru lahir,
Harus ditatang dengan penuh sabar dan kasih-sayang,
Agar pabila dewasa menjadi insan yang mengenang budi,
Budi yang tidak terjual mahupun terbeli,
Budi pada tanah kelahiran sendiri.

Monday, August 23, 2010

Kehidupan

Kehidupan,
Umpama perjalanan menaiki sebuah keretapi,
Sebuah laluan yang sudah ditentukan oleh maha pencipta,
Hanya tunggu untuk dilalui dengan penuh hati-hati,
Hentian demi hentian yang dilalui,
Merupakan satu demi satu halangan yang menanti,
Sebuah penantian yang amat menggusarkan,

memenatkan,
melemahkan,
Apabila terdengar suara memanggil,
Tandanya keretapi sudah sampai ke destinasi,
Pengembaraan sudah berakhir disini,
Tinggal sang penumpang, bersama bagasi berupa amalan,
Menanti di tengah ribuan  setia,
Tidak tahu nasib yang seterusnya.

Kehidupan,
Umpama perjalanan menuju pulau menaiki bahtera,
Sebuah perjalanan yang penuh dengan ranjaunya,
Terumbang-ambing dipukul gelora,
Tidak pasti sama ada dapat bertahan atau pun karam,
Sebuah persoalan,
Sebuah doa dan harapan,
Agar sampai ke destinasi yang diimpikan,
Apabila sampai di pelabuhan,
Berlabuhlah sebuah sauh kehidupan,
Menurunkan anak kapal dan penumpang setia,
Bersama muatan berupa amalan,
Menanti untuk dihitung sama ada lengkap atau kurang,
Untung nasib ditangan amalan yang dilakukan,
Tiada upaya untuk mengulangi kehidupan yang telah ditinggalkan,
Kerana perjalanan ketika di pelabuhan,
Adalah sebuah kehidupan baru.

Begitulah kehidupan kita,
Jalan yang sudah terbentang luas dihadapan mata,
Tinggal untuk dilalui dengan penuh kesabaran,
Sebuah perjanjian dengan tuhan yang maha esa,
Sebuah destinasi berupa syurga.

Monday, August 16, 2010

Hatta

Jangan kita pernah alpa dalam meraih kehidupan sempurna,
Kerana nilainya tidaklah setinggi kehidupan di sana,
Keindahannya merupakan satu jurang langit dan bumi,
Hatta,tiada sekelumit terfikir akal yang tidak kesampaian.

Jangan kita terlena dengan pujukan dunia semata,
Kerana tangisan dan kedukaannya adalah suatu rayuan,
Meminta untuk dibelas dan disanjung senantiasa,
Hatta, membawa kita bermimpi di siang hari.

Jangan kita terbuai dengan resam di dunia,
Terikat pada tradisi yang membelakangi agama,
Kita percaya pada sesuatu yang bisa buat kita berpaling,
Hatta, memaksa kita melawan arus ketentuan.

Jangan kita pernah merasa kitalah sahaja,
Kerana ada yang lebih sempurna menggarap kisah hidupnya,
Kita hanya sekelumit zarah di atas bumi ciptaan Allah,
Hatta,tidak tahu bagaimana pandangan tuhan terhadap kita.

Jangan kita pernah mempersoalkan perkara yang sudah pasti,
Kerana kerugian pasti bakal menimpa,
Apabila nafsu sudah menyeliputi segumpal hati,
Hatta, menjadi racun berbisa kelak memakan diri.

Jangan kita terlanjur berfikir pada batas-batas terlarang,
Kerana buah fikirannya akan diuji oleh syaitan,
Kerana takut hati kita lemah dan mudah dilemahkan,
Hatta, kita akan terdampar dalam sebuah kesesatan.

Karya Ramadhan 7, 5:37 pagi

Saturday, August 14, 2010

Fakir

Kita fakir di bumi bertuah ini,
Sungguh miskin akal, miskin pula budi,
Kita berada dalam kepompong sebuah kebodohan,
Kita masih lena dalam dodoian sebuah kebuntuan.

Acapkali kita suarakan pelbagai ideologi,
Tidak kira apa halangan mahupun sangkalan,
Yang terdaya hanyalah sebuah angan-angan,
Sebuah Impian,
Ingin berpaut pada awan nan kebiruan,
Mahu mendaki sehingga langit ketujuh tingginya,
Itulah kita,
Insan fakir yang lupa pada darjatnya.

Kita sungguh fakir dalam kehidupan sehari-hari,
Kita rebah tanpa bantuan dari sesiapa,
Kita lemah tanpa helaan nafas setiap detik,
Kita tewas pada hukuman masa dunia,
Kita sering terpedaya dan diperdaya,
Itulah kita,
Insan fakir yang masih leka dibuai lena.

Biar kita fakir dalam inderaloka ciptaan manusia,
Namun kita kaya dengan kurniaan budi pekerti,
Kita pemurah dengan zikir yang tidak henti.

Jangan kita fakir dihadapan Ilahi,
Tanpa sekelumit iman bersisa di dalam hati,
Jangan pula kita fakir tatkala kita pergi,
Kerana itulah petaka abadi…

Karya Ramadhan ke 5, 6:11 Pagi

Thursday, August 12, 2010

Raikan Cinta

Marilah kita raikan cinta sejati,
Cinta yang hadir tulus kerana Allah Taala,
Cinta yang mekar lahir dari hati yang ikhlas,
Cinta yang menjanjikan sebuah syurga firdausi,
Sebuah cinta kurniaan Ilahi.

Marilah kita raikan cinta sempurna,
Tidak perlu bebunga wangi atau tempaan emas permata,
Sebuah anugerah tuhan yang tak ternilai harganya,
Tidak berbalas dengan segala isi dunia,
Cukup sekadar dengan balasan redha dari-Nya.

Marilah kita raikan cinta nan agung,
Cinta ini hadir dari hati hamba Allah yang terulung,
Mencintai Allah dan rasulnya sepenuh jiwa raga,
Tanpa rasa ragu walau dipukul ombak kepalsuan,
Namun hati tetap berserah pada takdir yang maha Esa.

Marilah kita raikan cinta suci ini,
Tiada perlu pengorbana yang amat menyesakkan,
Hanya amalan menjadi pertaruhan,
Sebuah keikhlasan hati dalam setiap ibadah murni,
Balasannya sebuah keredhaan daripada Tuhan yang dicintai.

Insya Allah,
Karya 3 Ramadhan,5:52 pagi

Wednesday, August 11, 2010

Ramadhan Kali Ini

Kehadiran Ramadhan kali ini,
Membawa sebuah cerita yang berbeza,
Sebuah kesepian yang ketika ini menggigit sanubari,
Umpama sebuah racun yang bisa membunuh dalam sekelip mata.
Adapun tiada penawar mujarab jika hendak dicari.

Kehadiran Ramadhan kali ini,
Merupakan suatu kebisuan yang amat panjang,
Tiada daya untuk berbahasa dengan sempurna,
Lidah umpama terkunci dengan segala andaian dan fitnah,
Menderu umpama ombak ganas memukul pantai hati.

Kehadiran Ramadhan kali ini,
Merupakan suatu perubahan emosi yang amat ketara,
Semakin peka dalam merencana setiap perjalanan,
Agar tidak terpalit dalam noda dan sengsara,
Yang bisa menamatkan riwayat ketenangan.

Kehadiran Ramadhan kali ini,
Merupakan suatu harapan yang resah,
Umpama berbisik dalam nada yang suram,
Berpaut pada pautan jiwa yang lara,
Bertemankan sekelumit belas,
Dari pencipta.

Mushesa
Sebuah karya biasa, tiada puitis
Sahur 2 Ramadhan, 5:30 pagi

Ada Ketikanya

Ada ketikanya,
terasa seperti mahu mencipta sebuah karya sempurna,
Bercerita tentang keindahan hari ini,
Dalam keheningan ini,
Deruan semilir dalam bertafakur bersantapkan
lantunan zikir yang tidak henti,
Tanda syukur yang tidak berbelah bagi.

Ada ketikanya,
Kudrat ini mahu menari semahu-mahunya,
Beriramakan alunan sang  bayu,
Mengusap lembut membuatkan kita terlena,
Lantas dikejutkan dengan bisikan nurani,
Memanggil kembali memuji Ilahi.

Ada ketikanya,
Kesyukuran disalurkan dengan tasbih kifarah,
Dengan pujian zikir kepada Allah,
Kerana itulah lumrah manusia,
Ada ketikanya,
Pengubat hati yang lara,
Peneman duka nestapa,
Adalah zikrullah

Mushesa
Karya Sahur 2 Ramadhan, 5:17 Pagi


Monday, August 2, 2010

Rindu Langit Ramadhan

 
Relung duka ini,
Menggamit bibit-bibit keresahan,
Dalam pautan dendam kesumat,
Membara, meresap ke dalam selirat usia,
Meracuni, setiap himpunan kerinduan.
 
Dalam terkapai-kapai,
Gerimis air mata menjadi peneman,
Dalam kehujanan hati yang panjang,
Tidak kenal…
Siapa nama,
Rencana siapa,
Kemelut ini ternyata jauh terselam,
Dalam lubuk kedukaan hati yang panjang.
 
Kerinduan pada langit ciptaan tuhan,
Acapkali sukar untuk diterjemah,
Pada semilir lalu pesanan dibawa,
Harapan pada cahaya kasih dari himpunan doa,
Semoga kecekalan bisa meneruskan kehidupan,
Agar kekalutan tidak mematahkan,
Sendi-sendi kudrat yang bertongkatkan
Percaya dan janji tuhan,
 
Keyakinan akan janji-janji tuhan…
 
Kerinduan pada langit ciptaan tuhan,
Tiap ketika ada waktu-waktu yang sepi,
Kebungkaman yang menyesakkan jiwa,
Kebingungan dalam mencari cinta hakiki,
Terkadang gelita dalam sinar lentera,
Terkadang sunyi dalam rayuan syurga,
Membawa pulang,
Sebuah kurniaan yang Esa.
 
Langit Ramadhan,
Sebuah penantian sekelumit belas,
Beransur bebas dan lepas segala khilaf,
Tatkala keheningan gelita malam,
Bertahajjud dalam pelukan cinta sang pencipta,
Bertafakur merafak puji pada helaan nafas ketika ini,
Dalam penantian sebuah kenikmatan abadi,
Kerinduan pada langit ramadhan ini,
Sebuah muhasabah dalam percintaan hakiki,
Dari hamba kepada Ilahi.
 
Mushesa

Apabila Sudah Dewasa

Apabila sudah dewasa,
Kadang-kadang teringat kembali,
Detik-detik berlari kecil di beranda rumah,
Mendengar hilai tawa rakan sebaya,
Sambil menyanyi lagu-lagu gembira.



Apabila sudah dewasa,
Kadang-kadang teringat kembali,
Waktu-waktu berlari lincah di sekitar rumah,
Ketika di kejar ibunda yang sedang marah,
Sambil memegang rotan sedepa panjangnya,
Akibat kenakalan kecil kita,
Yang masih tidak mengenal erti usia.


Apabila sudah dewasa,
Kadang-kadang kerinduan pada zaman sekolah,
Menyelinap ke dalam selirat pembuluh darah,
Ketika sama-sama mengenal satu persatu aksara,
Membilang dari satu hingga sepuluh,
Belajar darab, bahagi, tolak dan tambah,
Belajar berpuisi dan bersyair cinta,
Alangkah indahnya.


Apabila sudah dewasa,
Kadang-kadang terdengar kembali keriangan suara,
Ketika pulang ke rumah,
Disambut dengan senyuman ibunda dan ayahanda,
Bertanya bagaimana keputusan periksa,
Andai cemerlang,
Ibu akan memeluk mesra,
Andai gagal,
Ibu akan merintih hiba,


Kadangkala,
Perkara ini mengganggu ingatan setiap masa.


Apabila sudah dewasa,
Perasaan ingin kembali ke usia muda,
Kerap menggegar hati dan nurani,
Kadangkala rindu pada suara guru yang pernah mengajar,
Alangkah rindu rasanya,
Namun benar waktu tidak dapat diulang,
Setiap yang berlalu,
Menjadi cebisan memori sepanjang usia,


Dan ketika dewasa ini,
Pemikiran semakin matang,
Untuk menentukan hala tuju impian,
Diiringi cita-cita dan juga harapan,
Beserta doa kepada tuhan,
Teruskan perjuangan…


Mushesa

Karya 5 Minit

Andai 5 minit ini dapat ku luangkan sebelum ajal,
Izinkan aku untuk memeluk erat satu talian kasih-sayang,
Izinkan aku mendakap mesra cinta tulus kurniaan dari tuhan,
Izinkan aku menyesakkan nafasku dengan esak tangis tulus,
Dari seorang teman dalam kedaifan cinta...



Andai 5 minit ini dapat ku luangkan sebelum ajal,
Izinkan aku memegang kitab suci, sesuci kalimah ciptaan tuhan,
Izinkan aku mengalirkan jernih air mata dalam basahan taqwa,
Izinkan aku mengalunkan bait-bait indah kalimah zikrullah,
Hanya memuji Allah,penduga cinta sebenar...


Andai 5 minit ini dapat ku luangkan sebelum ajal,
Izinkan aku berlari kecil mengejar cinta ayah dan bonda,
Izinkan aku melepaskan setiap lelah dilema dalam pelukan ayah,
Izinkan aku mengukir senyuman tanda bersyukur punyai bonda yang sabar,
Izinkan aku meluahkan rasa kepuasan dalam meniti kehidupan,
Di bawah teduhan kasih-sayang mereka...


Andai 5 minit ini dapat ku luangkan sebelum ajal,
Izinkan aku mengatakan betapa bersyukurnya aku sebagai khalifah,
Peneraju kehidupan dalam dunia yang sementara,
Andai Allah benar-benar memberikan aku masa,
Sebagai peringatan sebelum ajal ku tiba,
Andai itulah takdir, penentu segala,
sebagai peringatan,
Jangan sia-siakan waktu yang berharga....


Mushesa

Bicara Pada Akal Dan Hati

Bicara buat hati,
Adakalanya, semangat itu kian luntur,
Satu persatu warna dan serinya hilang,
Seakan-akan kusam pada permukaannya.



Bicara buat hati,
Adakalanya, semangat itu kian lemah,
Umpama lelah walau dalam perjalanan singkat,
Seakan-akan tidak berdaya untuk berlari lagi.


Bicara buat hati,
Adakalanya, semangat itu kian rapuh,
Umpama pohonan tua di hujung rimba,
Menanti waktu untuk ditebas berganti rumah.


Bicara buat akal,
Adakalanya, fikiran itu kian luntur,
Satu persatu kisah dan sejarah hilang,
Seakan-akan keras umpama hati.


Bicara buat akal,
Adakalnya, fikiran itu kian lemah,
Umpama rebah belum sampai pada faktanya,
Seakan-akan kurang selirat pembuluh darah.


Bicara buat akal,
Adakalanya, fikiran itu kian rapuh,
Terpesong pada rencana yang salah,
Tersasar jauh tanpa tujuan dan jalan.


Bicara pada akal dan hati,
Renungilah setiap kekurangan kalian kini,
Kembalilah pada realiti kehidupan ini,
Bukan lari dari mencari apa yang di impi,
Bukan kalah sebelum saat kemenangan tiba.


Mushesa

Hati Dan Simpati

Apabila pena mula menari kembali,
Ada sebuah kisah bakal digarap,
Selaut cinta segunung harapan,
Sebutir simpati, sekelumit doa,
Segumpal hakikat, merubah rencana.



Kelihatan kelibat pari-pari putih,
Terbang hinggap pada laluan kaca hati,
Menyatakan ada pembohongan disebalik simpati.
Ada manusia bertopengkan belas,
Mengharap minda mnusia berhenti meneka,
Meraih jiwa-jiwa yang lemah pada cinta,
Pada kata,
Pada tangisan…


Adapun sebuah sangsi dapat membokar ilusi,
Hakikat muncul kembali,
Kerana kuasa tuhan itu abadi,
Hati mula berkata,
Samada insan ini dapat menyelami hati-hati
Yang terluka,
Yang tersesalkan segala derita yang pernah
Dirasa bersama.


Nama yang indah,
Bukan bermakna suatu keindahan dalam bicara,
Simpati itu merupakan sebuah kemenangan,
Akhirnya rebah jatuh dalam sengsara.
Ajal maut semuanya kehendak yang Esa,
Kita bertasbih mengharap tafakur dapat
Memanjangkan usia…


Mungkin,
“Hati dari seberang” sudah rosak dimamah simpati,
Sudah kabur mata dengan kehangatan cinta manusia,
Sudah pekak telinga dengan pujian menjulang tinggi,
Sudah bisu bicara dengan kata-kata manis
Meraih sejuta emosi.


Kita sebagai insan biasa,
Guna akal untuk meneka,
Satu kurnia yang Esa,
Untuk membezakan
Mana benar,
Mana salah,
Semoga kita mendapat redha…


Mushesa

Kesepian

Dan kesepian itu adalah peneman setia,
Sebagai sahabat sejati, dari hari ke hari,
Semakin lama semakin kerap menemani
Sebuah hati yang sepi,
Meminta untuk berlindung pada ruang kecil


Hati yang semakin membeku dari
Musim ke musim.
Yang tinggal hanyalah serpihan duka,


Sebuah kedukaan yang amat mendalam,
Bergelora umpama lautan antartika,
Terbentang luas dan terbenam sedalamnya.
Kudrat yang semakin longlai,
Berpaling dari hajat sebenar kehidupan,
Membelakangi norma-norma,


Namun,
Pada Tuhan kuasa yang mampu
Menghapuskan sendu-sendu keresahan,
Dalam pautan kasih sayang dan doa.


Kadangkala terikat pada perasaan keliru,
Bermain dalam drama ilusi sebuah realiti,
Menari dengan irama tarian mistik kehidupan,
Berpura-pura dalam senyuman yang direka.
Adanya, dengan kesepian yang kian membelenggu,
Menyukarkan pergerakan sebuah minda,
Umpama dilitupi,
Bait-bait percintaan antara hakiki dan ilusi,
Ternyata,
Akhirnya terjerumus dalam kancah yang rapuh,
Sebuah kesesatan jiwa.


Jalan yang tinggal,
Antara sedar atau kematian,
Peninggalan sebuah harapan yang bakal lebur,
Apabila tiang paksi rentangan persoalan,
Tiba pada kesimpulan sebenar,
Permainan harus dihentikan,
Kepuraan harus dimatikan,
Biar dukanya sebesar zarah sekalipun,
Ia tetap dipanggil luka,
Sengsara juga mampu membalas setiap
Ruang tangis seketika bermimpi,


Kudrat ini,
Mengharapkan ada sinar pada persoalan akan datang,
Mengharap kedukaan bukanlah milik yang abadi,
Mengharap sebuah cinta dengan keikhlasan dari Tuhan,
Sebuah keredhaan,
Sebuah pandangan sufi…

 

Mushesa

Hanyut

Bila terhenti bicara sendiri,
Mata menjadi satu saksi untuk meneka
Setiap langkah pada bahu takdir,
Pada rona warna dunia,
Seperti kosong tiada warna,
Hitam, putih…



Pada lapangan jalan kehidupan,
Ada manik-manik usaha mencari arah,
Untuk kembali semula seketika,
Kehilangan sempadan antara jiwa dan budi,
Umpama selautan kasih yang mati,
Terdampar,
Menanti di pukul ombak gelisah,
Dihanyutkan terus-terusan,
Sehingga lemas,
Sukar untuk bernafas.


Dalam nada separuh waras,
Mengakui,
Cinta itu memoir kehidupan,
Sebuah picisan dalam perca-perca
Sedih dan gembira,
Berpaut pada akar-akar dusta dan maksiat,
Pekat dan sarat,
Merangsang kudrat,
Membuka hakikat.


Panorama malam ini,
Suatu kebisuan yang terlampau,
Imbasan satu persatu persoalan,
Dalam penantian dan keinginan,
Untuk menatap,
Sekelumit kasih yang hilang,
Walaupun masih dalam pandangan,
Hanya air mata bisa dirembas,
Mengharap simpati,
Memeluk hati,
Mendodoikan cinta.


Mushesa

Pohon Usia

Merapati pohon usia,
Dahannya kian rendang,
Dedaunnya hijau beralun lembut,
Ketika bayu melintasi pada kedinginan petang ini.
Terlihat akar yang melekat kuat pada bumi nan kesuburan,
Ada kegembiraan pada tumbuhan dibawah redupan
Sang pohon usia.



Merapati pohon usia,
Dahannya kian berkurangan,
Dedaun kuning kian rapuh ditiup angin,
Walaupun semilir hanya sepoi-sepoi bahasa,
Namun rapuh dedaunan ditiup menghempas ke bumi,
Kekesalan mula dirasakan pada sekelian tumbuhan kecil.


Merapati pohon usia,
Ada sedu-sedan dalam nada seakan-akan menangis,
Tidak kelihatan dahan rendang yang pernah diagungkan,
Dedaun mati kian memenuhi disetiap inci lantai bumi,
Kelihatan akar kian lemah memegang tanah yang kontang,
Tumbuhan lain kian memandang dingin si pohon usia,
Tinggallah kesepian nan memurungkan hatinya
Pada batas masa yang telah ditakdirkan yang maha Esa.


Mushesa

Suara Dunia

Getar suara petala dunia,
Satu malapetaka bertempiaran datang,
Membibitkan calitan kemarahan dalam selimut
Kepanasan hati.
Ada satu mimpi untuk menerjah tiap kepiluan
Dan kedukaan hidup paranormal.
Menyingkap kalung kesedihan,



Sungai air mata,
Kekontangan tidak menjadi peneman dalam
Hari-hari perjuangan mujahid sejati.


Amarah dan maruah,
Menjadi tiang paksi menangkis renjatan
Ketakutan,
Setiap langkah bertitahkan satu keamanan
Sejagat,
Setiap larian mengundang seribu satu
Kesilapan.
Keangkuhan lawan menjadi pertaruhan.


Sebuah kedaifan menjadi medan,
Sugul, sedih menanti titip berita dari seberang,
Perkenan dari mata dunia,
Membawa khabar yang indah,
Peluang meraih sebuah kehidupan sempurna.

Kini,
Balasnya darah,
Dengan laskar angkuh yang sedang berpesta,
Hanya tuhan bisa penentu segala,
Dunia seakan terkunci gerak langkah,
Tunduk menyerah kalah, menanti perintah,
Sedar dunia masih lagi bernyawa,
Sekecil zarah sekelumit doa dipinta.


Perjuangan hari ini,
Merupakan titik permulaan hari esok,
Andai hari ini gagal,
Kuasa tuhan memberikan hakikat sebenar,
Biar kesakitan itu kita rasai bersama,
Kerana pengorbanan ini sesuatu yang amat bermakna,
Dunia seperti tunduk malu,


Biarkan yang masih terlena terus bermain mimpi,
Kita yang sedang peka meniti hari,
Teruskan berdiri,
Terus berbakti.


Mushesa

Paradoks

Yang duka itu gembira,
Yang ceria itu berduka,
Yang hingar itu sepi,
Yang malap itu cahaya,
Yang dingin itu bara,
Yang hangat itu salju.



Paradoks kehidupan,
Sukar diterjemah akal,


Yang hitam itu suci,
Yang putih itu keji,
Yang merah itu tenang,
Yang biru itu amarah,
Yang hijau itu buntu,


Sebuah eksperimentasi,
Dalam mencari sebuah keanehan,


Kadangkala,
Kehidupan ini amat berbeza,
Sebagai manusia dunia,
Seringkali tercari-cari makna hidup ini,


Yang berkata itu sedang berdiam,
Yang mendengar itu sedang melihat,
Yang melihat itu sedang berbicara,
Yang bernafas itu tidak bernyawa.


Kehidupan ini,
Pentas penerimaan akal,
Bukan memorial perkelahian,
Sebuah sketsa sesuatu yang jelas,
Bukan sesuatu yang bertentangan.


Sebuah paradoks,
Umpama mencabar akal,
Berkelahi dengan bahasa dunia,
Meredah sebuah kebiasaan hidup.


Mushesa

Pena Yang Menari

Bila pena mula menari,
Pasti akan ada susunan kalimah yang diukir,
Tiap aksara disusun dengan rapi,
Agar maksud tersurat mudah untuk dilihat,
Supaya makna tersirat mudah dicerna minda.



Tiap aksara yang disusun satu persatu,
Pasti membawa maksud yang berbeza,
Kadangkala ia,
Merupakan satu getusan bicara,
Ungkapan mesra yang tidak bisa
Diungkapkan dengan kata-kata,
Kadangkala ia,
Merupakan buah fikiran,
Bingkisan idealogi yang sukar untuk
Diterjemah dengan kata-kata.


Sesungguhnya,
Setiap karya itu berlandaskan emosi dan pemikiran,
Sebuah hadiah dari hati yang teramat istimewa,
Adanya pena yang tidak pernah berhenti dari menari,
Bakal menciptakan satu melodi yang indah,
Menggamit satu tarian sempurna.


Jejari ini terus bergetar,
Ingin melukis potret minda,
Ingin mencipta karya sempurna,
Warna-warni kehidupan manusia,


Dan sesungguhnya,
Ia tidak akan berhenti dari menari,
Kerana melodi itu umpama helaan nafas,
Selagi udara ini masih dinikmati,
Selagi itu juga jasad pena tidak akan mati.


Mushesa

Cinta

Ada kerinduan di sebalik senyuman,
Satu persatu memori kian menerpa
Pada jalan yang telah ditinggalkan,
Picisan sepi sebuah memoir,
Kian menghangatkan emosi,
Walaupun kedinginan menyentap
Sebuah ilusi,
Hakikatnya, sebuah kerinduan itu,
diiringi sebuah kesyukuran hakiki.



Warna-warna sebuah rencana,
Seperti mengkhayalkan
Sesiapa yang mampu mengerti,
Buaian rasa semakin membuatkan
Insan kian terlena,
Bait-bait puitis dari susunan aksara,
Kian giat menusuk kalbu,
Memuji jiwa,
Menyingkir lara.


Adanya kehadiran cinta semakin jelas,
Berlegar-legar tanpa rasa malas,
Kesegaran aroma semakin terasa,
Kerana cinta itu telah membuktikan kekuasaanya,
Ia telah datang,
Menyembah pemilik menjadi sebuah hamba,
Hatta,
Kerajaan hati akhirnya termiliki,
Tiada kudrat selain takdir
Yang mampu memecah dan menggegar,
Mantera sufi seorang kekasih,


Cinta itu sesuatu yang suci,
Sebuah kurniaan dari Ilahi,
Sukar untuk diinterpretasi,
Sukar untuk difahami,
Tetapi,
Cinta dengan keikhlasan,
Mampu meraih sejuta harapan,
Bisa membuatkan insan bersabar,
Mampu merubah paksi dunia.


Dan sebenarnya,
Cinta itu kepunyaan Ilahi,
Untuk dirasai dan dipelihara,
Cinta itu tersangat indah,
Bisa membuat kita ketawa,
Berduka dan kecewa,
Kerana itulah cinta,
Sebuah kurniaan yang terindah,
Ialah CINTA…


Mushesa

Sebuah Memoir

Kudrat ini,
Berlindung disebalik zarah-zarah
Kasih dari saluran sebuah cinta,
Debuan sayang menyelusup,
Disetiap ruang lopak hati yang kedinginan
Membisu sepi,
Air cinta,
Melahirkan aku ke dunia nan indah,
Mengenal makna sebuah tangisan,
Sebuah senyuman,
Berjalan di atas medan sebuah rencana kehidupan,
Tak terbeli dengan hati mahupun budi,
Setiap inti pengorbanan hakiki.



Bukan niat untuk menjaja,
Sebuah memoir yang membawa aku ke sini,
Bukan menjual,
Setiap getir yang telah dilalui tatkala
Bumi ketandusan gelak ketawa,
Ada penyejuk, ada penyabar,
Tiap bicara, menghempas setiap kerumitan,
Setiap renungan,
Melempar sebuah cahaya ketenangan.


Tika malam menghambat diri,
Bergetar jiwa merasuk sebuah kerinduan,
Rindu pada seorang umi,
Rindu pelukan kasih sejati,
Mahu aku menangis seperti anak kecil,
Di atas pangkuan riba,
Bercerita kisah suka, duka, nestapa,
Betapa lelah kehidupan di dunia.


Ingin saja,
Aku peluk erat dalam tidur nan suram,
Dengan pantulan cahaya rembulan,
Bercerita tentang kehidupan yang telah diberikan,
Kesempatan yang telah dikurniakan,
Kesyukuran mempunyai ibu yang
Amat menyenangkan.


Hakikatnya,
Aku rindukan senyuman yang terukir,
Sebuah senyuman ikhlas,
Senda gurau, marah sayang,
Segulung nasihat,
Sebuah peringatan,
Impian dan amanat,


Kuntuman bahagia dalam
Jambangan doa,
Aku titipkan,
Pada ya Rabbi,
Agar pada ketika ini,
Pada saat ini,
Sebuah belas,
Sebuah keredhaan,
Dapat Dia kurniakan kepada insan,
Yang amat ku sayang.


Sekali lagi,
Ini bukan puisi,
Hanya sekadar memoir singkat,
Sekelumit ingatan,
Dari anak untuk ibu tercinta,
Selamat hari ibu
Untuk ibuku sayang


Mushesa

Bukan Puisi

Alangkah tertib masa berlalu,
Kala waktu kian berputar,
Dunia semakin berlegar,
Minda semakin kurang siuman,
Bukan terpedaya pada pusingan dunia,
Tetapi terpedaya dengan puluhan formula.



Tatkala menulis ketika malam,
Sehingga terlupa esok masih ada agenda,
Sekadar mengambil masa yang dipinjam,
Sebelum diambil empunya dunia,


Kadangkala,
Sungguh, sesaat itu amat bermakna.


Seperti aku ketika ini,
Tidak jemu menulis sekian kali,
Terkadang lelah menelaah segala,
Masa yang ada, tidak dipersia,
Aku gunakan untuk berkarya,
Sekadar perkongsian minda,
Bukan apa-apa.


Kali ini,
Agak terusan puisi nan di tinta,
Tiada halus seni,
Hanya karya selamba,
Namun punyai maksud yang sebenar,
Mudah untuk diterjemah,


Makanya,
Aku sangat lelah,
Derita menghadapi segala,
Malam-malam begini,
Puisi seperti ini pelangsai bicara,
Pengubat nestapa,
Peneman jiwa.
Bukan Puisi,
Hanya luahan ketika ini.


Mushesa

Mantera

Di antara tembok-tembok besar,
Berada dalam satu lingkungan ruang,
Sempit, dingin, perasaan yang kian bertamu,
 
Kadangkala,
Gema suara beralun, acapkali
Jeritan kesakitan menerpa.
Dalam ruangan yang kian padat,
Mendapan zarah demi zarah,
Giat getar permukaan dihempas asakan gentar,
Gementar tangis dalam lohong,
Dan lorong kian bergegak- gempita
Seraya,
Meracau khalifah.
 
Antara dua tembok itu,
Punya kisah takdir berbeza,
Esak-esak sendu tangis,
merancak tiap puitis alunan mantera,
membutakan kedua belah mata,
mendodoikan semesta yang gairah,
dalam munafik suara
jahiliah.
 
Tujuh petala langit,
Mengundang pemanah petir halilintar,
Menjulang sebuah obor kemerahan,
Tanda-tanda satu penghinaan,
Kemurkaan dibalik tabir
Langit yang hitam,legap
Dan kemerah-merahan
Merubah alam durjana.
 
Tiap baris demi baris
Suratan takdir,
Tidak terjangkau minda,
Tidak terpalit sebuah cerita ceria,
Hanya sekadar peneman sengsara,
 
Mushesa

Hujan Di Bumi Permai

Semilir senja memikat sang gelita,
Renyai-renyai hujan akhirnya bertandang juga,
Kehadiran senja kali ini,
Diiringi hujan rintik membasahi bumi permai,
Akhirnya,
Alunan nazam disulami kesyukuran senja,
Hiba, tangis dan sepi, kian menderu pergi.


Tatkala ini,
Ada yang sedang rancak bermandi-manda,
Acapkali hujan tiba,
Suara bayu jelas mengaum lelah,
Letih,
Menyejukkan kehidupan dengan usapan dingin,
Lemah-gemalai seraya lembut dan santun.


Tatkala ini,
Ada tangis ada yang terhiris,
Setiap langkah, menggamit pedih,
Setiap nada, mengundang sadis,
Usahkan bertatih,
Biar pun merangkak,
Sukar melaung perih.


Jeram ini,
Nyata lebih deras,
Kerana dipenuhi sakti pertapa,
Sebagai hamba,
Liku-liku usang memanggil berzikir,
Menyebut nama tuhan yang maha pengasih,
Merafak sembah,
Menghitung kesyukuran.
 

Hujan ini,
Mendinginkan sekalian umat,
Tidak kira warna, wajah dan percaya,
Langit merah memanggil pulang,
disusuli merdu laungan azan,
Menandakan maghrib kian datang,
 
Tiba masa,
Tugas kita sebagai hamba,
Untuk berbakti pada yang Esa.
 
Mushesa

Memori Senja

Senja datang lagi,
Kali ini dalam suasana sayu,
Sebentar tadi hujan kelu tidak jadi hadir,



Lantas,
Meninggalkan kesan syahdu,
Pada setiap penghuni alam.


Senja ini,
Pekat kabus membataskan penglihatan,
Deruan bayu,
Menyelusupi jendela sepi,
Berlegar-legar,
Dalam medan kekelaman.


Senja ini,
Sedari tadi asyik membuatkan
Penghuni terleka,
Tatkala melihat kebesaran yang Esa,
Bersyukur dengan nikmat yang sempurna.


Senja ini,
Meluapkan satu perasaan dingin,
Ilusi yang ketagihan,
Liang-liang duka jelas ketenangan,
Memanggil pulang sebuah senyuman.


Senja ini,
Tuhan memberikan satu kesempatan,
Untuk penghuni sempat berfikir,
Membuka hijab yang kian rapuh,
Melemparkan secebis keampunan,
Dalam pelukan kasih.


Senja ini,
Melepas terbang segala duka,
Melukis keamanan dalam bayangan,
Dengan pautan sekelumit doa,
Sekalung belas dari pencipta,
Dan penghuni masih bernyawa,
Dengan redha yang maha Esa,



Kerana Tuhan untuk manusia.


Mushesa

Sepi

Malam ini,
Tika angin melewati tubuh yang mungil,
Sayup-sayup pergi sebuah cita-cita,
Satu demi satu mimpi beterbangan
Dibawa tiupan sang bayu.


Hati ini,
Memanggil deruan suara yang jahil,
Pulang kepangkuan derita,
Menyeru nama yang semakin fana,
Kembali berjalan di atas laluan yang benar.


Laluan singgah ini,
Kian semakin menyesak,
Membuatkan tiap nafas semakin sempit
Untuk di hela,


Hakikatnya,
Selembar usang harapan,
Merupakan satu pengabdian yang ilusi,
Mungkir untuk di harap kembali.


Jiwa ini telah pergi,
Bersama deruan angin tadi,
Yang tinggal hanyalah sebuah hati yang sepi,
Bertemankan lampu neon yang setia,
Menyala,
Dan terus menyala…


Mushesa

Sayap Terpatah Lagi

Kalam ini mungkin sebuah kalam terakhir,
Dari seorang insan yang meminjam
Sekelumit nafas dari tuhan yang Esa,
Setiap gerak-geri mendambakan sebuah keampunan,
Calitan duka kali ini,
Mungkin satu calitan yang terakhir untukku,
Andai esok adalah satu mimpi indah…


Bila aku sendirian,
Muhasabah menerpa memanggilku kembali,
Mengenang rentetan satu persatu cerita duka,
Cerita sepi dan cerita gembira,
Air mata turut membasahi,
Menemani sebuah malam gelita.


Hatiku kian sakit,
Hatiku kian perit,



Menanggung derita ternyata rumit,
Hanya perca-perca sabar dapat ku jahit,
Menjadi selimut dalam ketakwaan,
Menanti suatu hari bisa bertemu sang pencipta,
Dalam sekelumit redha,
Dalam ketenangan didamba…


Sayapku terpatah lagi,
Kali ini kian berdarah parah,
Perit menahan sakit derita,
Tiada tempat mengadu,
Tiada tempat menagih,
Hanya kamu,kamu dan kamu,
Yang bisa mengerti sahabatku,



Nada ini mungkin serius,
Kerana kadangkala aku begitu,
Kerana itulah diriku…


Biar catatan kali ini tiada puitis,
Biar bisa semua mengerti,
Bukan menagih simpati,
Namun hanya sekelumit doa,

Ku harap kalian titipkan,
Agar bisa aku tenang,
Andai takdir aku bukan disini,
Untuk esok hari,



Aku redha,
Aku gembira,
Kerana tuhan lebih mengerti…


Mushesa

Pasti

Biar malam ini aku katakan,
Aku hanya mahu dia,
Hanya dia yang bisa membuat hati ini
Tersenyum,
Hanya kerana kekurangan dia,
Membuatkan aku senang bergandingan,



Bukan picisan,
Sekadar menjadi diri-sendiri,
Itu yang aku mahukan…


Biar malam ini,
Aku buktikan betapa aku lemah tanpa
Suaranya,



Tanpa khabar yang bi
sa aku tahu,
Tanpa tawa riang pencinta malam buta,
Aku pasti rebah,



Tiada kuasa….


namun, apabila…

Sayup-sayup tautan cinta meraih ketagihan,
Tiap bisikan mendambakan kemanisan,
Pasti suara itu menyapa lena dalam pelukan,
Menyahut nama yang paling didamba…


Berat lapis awan berarak ke barat,
Hujan rintik malam ini, gamat menyiram bumi,
Tiap kalam ditinta, pasti mengundang satu persoalan,
Tiap bingkisan menggamit satu memori hangat,
Senada alunan suara pemanggil dalam resah,
Semesra sapaan yang tersayang mendodoi malam…


Pasti,
Hanya dia yang mengerti,
Tiap bisikan aksara yang ku sematkan,
Ternyata sebuah keiklasan yang mendalam,
Pasti hanya dia,
Tidak lagi ada sesiapa,
Malam….


Mushesa

Tasbih Usang


Senja ini,
Menggeletar jari-jemari sedang membilang tasbih usang,
Terketar-ketar nadanya dipalit seribu kegundahan…


Ketika ini,
Sayup-sayup kedengaran laungan takbir,
Sayunya ia memanggil untuk segera mengejutkan akal…


Pada kala ini,
Kelam awan menjemput kehadiran malam,
Suasana hingar bertukar tenteram…


Seketika ini,
Nafas yang lena kembali bergetar,
Menandakan kebangkitan dari mimpi yang panjang….


Tatkala ini,
Suara rintihan zikir merdu berkumandang,
Menandakan masih ada yang membilang tasbih usang…


Mushesa

Bila Dunia Buta

Dalam jiwa ini masih ada teguh,
Dalam hati ini tidak pernah rapuh,
Dalam akal ini tidak pernah jatuh,
Dalam jasad ini masih belum luruh,
 
Telah datang detik waktu,
Bagi pemuja kembali pada tempat asalnya,
Bagi pendeta kembali pada pertapaannya,
Bagi pemerhati kembali pada matanya,
Bagi pendengki kembali pada maksudnya.
 
Segalanya akan datang dan pergi,
Hilang beterbangan umpama sayap rajawali,
Menempuh tiupan angin putaran bimasakti,
Menuju pada pusaran lahar gunung berapi.
 
Pada sayap timbulnya satu kudrat,
Pada hati telah lekat satu kematian,
Sempadan pemikiran telah dicerca angan,
Bayangan kian pekat disimbah sepi.
 
Biar bibit-bibit mesra menyulam cinta,
Biar rasa indah itu menyelimuti duka,
Biar esak tangis dongengan itu,
Menjadi teduhan untuk bercerita,
 
Biar nyanyian sang pari-pari itu,
Mendodoikan si kecil hasil muntah
Nafsu, muntah cinta…
 
Tiang rapuh kian songsang berpaling arah,
Akar yang berselirat menenggelamkan,
Sesak nafas bernafas dalam sendi yang terluka,
 
Rentetan lapisan sejarah meranap tiap
Titis-titis darah yang mengalir duka…
 
Biar dunia masih tidak mahu bersuara,
Telah bisu di sebalik jerih, payah
Telah buta di sebalik cermin,
 
Yang memantulkan liang-liang hina kita,
Entah sampai bila,
Bila cinta masih bernyawa,
Segalanya mungkin lahir ke dunia…
 
Mushesa

Sayap Putih

Telah lama ia diselimuti sayap putih,

Seabad lamanya sayap resah itu,

Berpaut pada ranting-ranting usang,

 

Kalimah yang tercipta hanyalah pautan lesu,

Sekelumit rasa yang membelenggu hati,

Sezarah cekal menguji diri.

Derita itu ternyata amat,

 

Dan bertanya,

Bagaimana hendak ku bertemu dengan-Nya,

Dalam nada aku yang hina,

Sebuah kisah noda dan alpa,

Bagaimana hendak ku litupi segala cerca,

Sedang nista, keji dan nanah,

Terpalit menghurung tubuh sengsara.

Bagaimana?

 

Allah

 

Larian tanpa sempadan,

Meraung, meratapi segala bebanan,

Kabus kerinduan meresapi jiwa nan parah,

Keresahan meracuni jiwa yang gagah,

Menyusun aksara Alif, Lam, Lam, Ha,

 

Awan kian terik,

Menyimpulkan sejuta nafas sadis,

Bertempiaran membuta tuli,

Mencari teduhan di bawah mentari,

Di banjiri, lautan keringat kian membasahi.

 

Earth From Space 7

 

Kesedaran itu kian takut untuk diingati,

Bukan terpaksa,

Bukan dipaksa,

 

Segalanya,

Tidak mampu lagi,

Hanya Dia yang memahami,

Cuba renungi.

 

Mushesa

Hijrah

hijrah
 
Satu persatu bangkit,
Satu persatu tumbang,



Telah ku lenyapkan sebuah ilusi,
Untuk berpaut pada dahan yang tajam,
Agar selesa mendakap sebuah mimpi ngeri kehidupan,


Biarlah, ramai yang bercerita suatu kisah duka,
Biar darah kepanasan meluap-luap menutup segala waras,
Biar terjemahan suara dipanggil sebuah amarah,
Biar bisu dianggap satu kelemahan,
Namun selagi tidak bergoncang dunia,
Biar takwa, biar tinta merona segala warna,


Sebuah perjalanan yang amat panjang,
Dalam mencari kekuatan dan kelemahan diri,
Sekian kalinya aku terjatuh, dan terjatuh,
Namun, seketika timbul pertanyaan,
Perdebatan,
Adakah aku mampu?
Adakah aku kuat?
Siapakah yang mengerti?
Beban ini sudah tersurat hanya untuk aku tanggungi,

Bukan untuk dikongsi,
Bukan untuk diratapi,


Kadangkala,
Sesuatu yang kita harapkan tidak mampu untuk dilaksanakan,
Kadangkala, perasaan
hampa,
iri,
amarah,
Kerap melewati hati yang bernafsu,

Namun,
Dengan takdir,
Dengan zikir,
Dengan berfikir,
Amarah menjadi sabar,
Iri menjadi simpati,
Hampa menjadi tawa,


Ketika dulu,
Aku masih kesepian,
Terbelenggu dengan pekat janji,
Tersentuh dengan pelukan nurani,
Tercalar dengan kelemahan hati sendiri,
Suara-suara sendu berlegar-legar dalam tangis

Yang kesuraman,
Melewati kepekatan malam yang panjang,
Menyelirat dalam darah yang mengalir
Dari hati pantas ke akal,


Aku masih teguh disini,
Membilang hari yang amat panjang,
Mengorak langkah jauh semarhalah,
Membuka hijab penerimaan,
Menutup liang dengki dan hasad,
Merubah paksi mimpi,
Menjadi realiti,
Menyandarkan sebuah kelemahan,
Kepada kemenangan,



Berhijrah,
Dari ruang yang malap,
Kepada yang lebih bersinar,


Lihatlah aku,
Tersenyum sendiri,
Mengenang sebuah cerpen duka,
Manatap wajah kisah gembira,
Harus aku bersyukur dengan kurniaan yang Esa,
Harus aku berterima kasih kepada yang memahami,


Dalam celah-celah taqwa dan sabar,
Pasti terbit satu kemanisan dalam kehidupan.


Mushesa