Monday, August 2, 2010

Bila Dunia Buta

Dalam jiwa ini masih ada teguh,
Dalam hati ini tidak pernah rapuh,
Dalam akal ini tidak pernah jatuh,
Dalam jasad ini masih belum luruh,
 
Telah datang detik waktu,
Bagi pemuja kembali pada tempat asalnya,
Bagi pendeta kembali pada pertapaannya,
Bagi pemerhati kembali pada matanya,
Bagi pendengki kembali pada maksudnya.
 
Segalanya akan datang dan pergi,
Hilang beterbangan umpama sayap rajawali,
Menempuh tiupan angin putaran bimasakti,
Menuju pada pusaran lahar gunung berapi.
 
Pada sayap timbulnya satu kudrat,
Pada hati telah lekat satu kematian,
Sempadan pemikiran telah dicerca angan,
Bayangan kian pekat disimbah sepi.
 
Biar bibit-bibit mesra menyulam cinta,
Biar rasa indah itu menyelimuti duka,
Biar esak tangis dongengan itu,
Menjadi teduhan untuk bercerita,
 
Biar nyanyian sang pari-pari itu,
Mendodoikan si kecil hasil muntah
Nafsu, muntah cinta…
 
Tiang rapuh kian songsang berpaling arah,
Akar yang berselirat menenggelamkan,
Sesak nafas bernafas dalam sendi yang terluka,
 
Rentetan lapisan sejarah meranap tiap
Titis-titis darah yang mengalir duka…
 
Biar dunia masih tidak mahu bersuara,
Telah bisu di sebalik jerih, payah
Telah buta di sebalik cermin,
 
Yang memantulkan liang-liang hina kita,
Entah sampai bila,
Bila cinta masih bernyawa,
Segalanya mungkin lahir ke dunia…
 
Mushesa

No comments:

Post a Comment